Thursday 4 September 2014

PENCEGAHAN LEBIH BAIK DARIPADA RAWATAN


      Antara amalan yang boleh dipraktikkan adalah langkah-langkah yang dapat mengelakkan diri daripada digigit nyamuk Aedes. Nyamuk Aedes lazimnya suka menggigit di waktu pagi dan di kala senja. Namun ini tidak bermaksud yang kita tidak akan digigit oleh nyamuk Aedes pada masa –masa yang lain.

    Langkah yang boleh diambil termasuklah memakai seluar dan baju berlengan panjang, mengenakan baju yang terang, menutup tingkap pada waktu – waktu nyamuk Aedes aktif , dan juga memakai ubat nyamuk atau kelambu. Ada juga krim-krim yang berasaskan serai misalnya yang terdapat secara komersil di pasaran yang boleh digunakan sekiranya akan menjalani aktiviti di kawasan yang banyak nyamuk.

     Namun, langkah yang lebih praktikal tentulah menghapuskan terus nyamuk Aedes daripada membiak. Sebenarnya ia adalah sangat mudah sekiranya setiap individu memastikan keadaan kediaman dan persekitaran bersih dan bebas daripada menjadi tempat pembiakkan nyamuk Aedes.

     Pastikan tiada air yang bertakung di dalam atau di luar rumah kita. Kediaman yang mempunyai kolam  mandian bolehlah menggunakan ‘Abate’ iaitu sejenis ubat yang membunuh telur nyamuk Aedes. Ikan guppy juga boleh digunakan untuk menghapuskan telur nyamuk bagi mereka yang suka menanam tumbuh tumbuhan hisan dalam pasu yang mempunyai takungan air yang banyak.

     Marilah kita seluruh rakyat Malaysia bersama sama berganding bahu untuk menurunkan kes kes denggi serta kematian  yang diakibatkan olehnya.


No comments:

Post a Comment