Sunday 28 September 2014

FAKTA MENGENAI DENGGI

Apakah demam denggi dan bagaimana ia merebak?

     Demam denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang boleh dicegah. Ia disebabkan oleh  empat virus (DEN-1 , DEN-2, DEN-3, DEN-4) daripada kumpulan virus Flaviviridae. Manusia mendapat jangkitan ini apabila digigit oleh nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti. Lazimnya nyamuk dijangkiti setelah menghisap darah pesakit demam denggi. Nyamuk yang telah dijangkiti boleh memindahkan virus tersebut kepada manusia sepanjang hayatnya. Nyamuk betina juga boleh memindahkan virus kepada telur-telurnya.

     Demam denggi tidak  merebak daripada seorang pesakit kepada pesakit yang lain secara langsung. Jelaslah disini bahawa nyamuk Aedes betina memainkan suatu peranan yang penting dan merbahaya dalam memastikan demam denggi terus wujud di negara kita. Individu yang pernah mengalami demam denggi masih boleh dijangkiti semula sekiranya nyamuk yang yang menggigit individu tersebut membawa virus daripada ‘strain’ yang berlainan.


Mengapa demam denggi boleh wujud di Malaysia?

   Cuaca di negara kita yang menerima sinaran matahari terik dan hujan sepanjang tahun mewujudkan keadaan yang sangat sesuai untuk pembiakkan ‘vektor’ atau pembawa virus demam denggi. Vektor yang penting di negara kita adalah nyamuk betina Aedes egypti. Nyamuk ini membiak dalam takungan air bersih seperti pasu bunga, takungan air hujan di dalam tayar atau sampah sarap serta kolam air mandian dan lain lain.


Apakah tanda-tanda demam denggi?

     Setelah digigit oleh nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti, virus tersebut boleh berada dalam sistem saluran darah selama 3 hingga 14 hari dan menyebabkan penyakit.  Manifestasi demam denggi bergantung kepada usia dan tahap imuniti seseorang. Bagi kanak kanak yang agak besar serta orang dewasa, tanda tanda demam denggi tidak banyak berbeza daripada jangkitan virus yang lain (viral fever) seperti berikut – :
  1. Demam
  2. Sakit sendi dan otot
  3. Sakit dibelakang mata
  4. Pening kepala
  5. Rasa loya dan muntah
  6. Ruam
  7. Gusi berdarah (akibat daripada penurunan sel pembeku darah)
    Bayi juga tidak terkecuali daripada serangan jangkitan yang merbahaya ini. Tanda-tanda jangkitan dalam bayi adalah agak tidak spesifik seperti demam panas, ruam dan kurang menyusu.  Demam ini boleh berlanjutan sehingga 7- 10 hari.


Bagaimanakah jangkitan denggi disahkan?

    Pada peringkat awal demam, ujian darah ‘Full Blood Count’ mungkin normal atau menunjukkan penurunan bilangan sel darah putih dan diikuti sel pembeku darah. Enzim-enzim hepar juga mungkin menunjukkan bacaan yang tidak normal. Untuk mengesahkan jangkitan denggi, ujian yang boleh dijalankan termasuklah pengesanan antigen denggi pada 5 hari pertama  kemunculan simtom ataupun pengesanan antibodi terhadap virus 5 hari selepas itu.


Apakah rawatan dan vaksin untuk demam denggi?

    Tiada rawatan khusus untuk demam denggi. Rawatan yang diberikan hanyalah berbentuk sokongan. Pemantauan tekanan darah, kelajuan degupan jantung dan juga analisis darah adalah antara  komponen penting yang difokuskan oleh doktor yang merawat. Vaksin untuk denggi masih di peringkat ujian dan pembangunan maka belum lagi dapat digunakan buat masa yang terdekat. Tiada bukti klinikal untuk membuktikan bahawa mengambil makanan seperti  sup ketam , air jus delima atau apa –apa ubatan dan suplemen dapat membantu dalam merawat demam denggi.

No comments:

Post a Comment